Paru masak sambal merah

Makan. Saya memang suka makan. Tapi kebanyakan masa saya pilih/masak makanan yang mengingatkan saya dan buat saya rasa dekat dengan Mak dan Bapak.

 

Contohnya paru lembu ni. Bapak boleh harapkan saya bukan saja untuk teman dia makan bahagian-bahagian yang pelik bagi sesetengah orang, nak suruh saya siang dan masak pun boleh. Kaki, ekor, kulit, perut, usus, otak, lidah… insyaallah semua boleh. Lapah lembu tak pernahlah, tu biasa orang lelaki buat. Tapi kalau disuruh rasanya insyaallah boleh je.

Bapak suka suruh masak bahagian-bahagian eksotik ni, kemudian bagi anak-anak rasa. Ala-ala survival. Torpedo je bapak tak bagi anak-anak perempuan makan, hahahah.

Tak elok selalu makan sesetengah organ dalaman dan jangan makan terlalu banyak. Betul. Tapi pada saya seeloknya kita boleh makan. Untuk elakkan pembaziran dan untuk didik diri kita manfaat apa-apa sumber makanan yang ada, selagi halal dimakan.

Paru lembu. Paling biasa saya masak sambal merah (cili kering). Masak berlada (cili merah) pun sedap. Pendek kata apa-apa masakan jenis sambal memang sesuai dengan paru, ikut tekak saya lah. Selain tu masukkan sekali dalam sup tulang, kari, rendang, atau goreng dengan bumbu garam, kunyit, dan ketumbar pun sedap.

Cara saya siang paru. Basuh bersih-bersih. Potong ketul sederhana besar, rebus sampai agak-agak masak sampai ke bahagian dalam. Sejukkan, barulah senang nak potong ikut saiz yang kita mahu. Kemudian bolehlah dimasak atau disimpan.

Resepi

Resepi masak sambal merah paru saya mudah saja. Macam biasa, sukatan agak-agak… style makcik-makcik Malaysia sebenar.

Paru yang dah siap dipotong, gaulkan dengan garam dan kunyit. Goreng. Tahap garing tu ikut suka kita.

Bahan sambal;

– Cili kering
– Bawang merah
– Bawang putih
– Halia (kadang-kadang tak letak pun)
– Belacan sikit
– Serbuk kunyit (kalau paru dah gaul kunyit sebelum digoreng, tak letak pun tak apa)

Bahan di atas ni kisar semua sekali. Kemudiankan tumiskan sampai betul-betul masak, pecah minyak. Kemudian barulah masukkan paru yang dah siap digoreng. Gaul sebati. Siap!

Tinggalkan Balasan