Kekacauan mental dan emosi, cara saya mengawalnya.

Sebelum meneruskan dengan lebih lanjut, saya mesti jelaskan bahawa saya tidak mendapat rawatan dari doktor dan tidak di diagnos punya masalah kesihatan mental. Apa yang saya cuba kongsikan adalah bagaimana saya mengawal masalah mental dan emosi yang pernah saya hadapi. Anda lebih tahu keadaan diri anda, kalau tak terkawal segeralah minta bantuan doktor. Atau jika ada kenalan anda punya tanda-tanda kemurungan yang teruk contohnya, pujuklah dia berjumpa doktor.

Lama juga saya fikir sama ada mahu menulis blog tentang ini atau tidak. Takut pada pandangan orang lain. Nak taip perkataan ‘mental’ pun berat saja rasanya. Tapi saya fikir… saya sendiri mencari di internet bagaimana untuk mengatasi masalah saya ini dan ada atau tidak orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Tepatnya, saya mencari harapan. Harapan untuk keadaan jadi lebih baik dan terkawal supaya tak jadi masalah kesihatan mental yang lebih teruk. Sebab masalah mental dan emosi ini tak kira apa tahapnya, sedikit sebanyak tetap menggangu kualiti hidup kita jika diabaikan. Jadi saya harap apa yang saya tulis ini sedikit sebanyak dapat membantu sesiapa yang memerlukan.

Apa yang saya hadapi sejak bulan lepas mungkin sekadar overthinking dan anxiety. Overthinking memang masalah sepanjang zaman saya, haha. Most of time terkawal, tapi jangan sampai triggered. Kebetulan kali ini triggered masa pertengahan bulan Ramadan. Jadinya masa Aidilfitri saya macam tak beraya. Berusaha tunjuk mood gembira tapi dalam hati Allah saja yang tau. Paling tak best bila dalam episod begini otak memang laju dan aktif fikir macam-macam tapi badan rasa lesu dan tak bersemangat, rasa penat, rasa nak menyorok. Masa shopping baju raya anak-anak pun rasa macam nak nangis. Tapi paksa juga badan keluar shopping. Kasihan anak-anak takkan tak berbaju raya.

Bila diingat-ingat semula, pertama kali saya dapat masalah begini masa sekolah menengah. Tapi masa tu manalah tau apa-apa. Seingat saya masa tu saya sentiasa rasa suram, sedih, takut, rasa buat apa pun tak ada guna. Rasa sakit. Sampai tahap saya mencederakan diri sendiri. Saya bernasib baik walaupun jadual di sekolah (asrama) padat tapi sekolah saya selalu buat aktiviti keagamaan. Itu yang menyelamatkan saya. Jadi ibu bapa sekalian… kalau sekolah anak anda selalu buat program keagamaan (Islam) janganlah merungut. Besar kemungkinan program-program tersebut yang menyelamat anak-anak anda dari perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Masa di universiti ada lagi kena tapi tak lama dan tak seteruk yang pertama. Ada cuba menenangkan diri dengan cara yang tak sepatutnya tapi tak sampai cederakan diri sendiri la, hehe.

Selepas tu saya boleh kawal perasaan saya macam biasa tapi akan ada satu-satu masa tiba-tiba saja hati saya akan rasa suram dan sayu. Apa yang saya buat biasanya saya tutup mata (kalau sedang memandu jangan tutup matalah), tarik nafas dalam-dalam dan beristighfar. Ulang sampai lega. Biasanya sekejap saja.

Tapi pada tahun 2015 rasanya, saya diserang panic attack. Penyebab panic attack tu nak sebut pun segan… bunga. Tak payah ceritalah kenapa, haha. Tapi yang pastinya saya rasa macam nak mati dah masa tu! Seluruh badan rasa kebas dan menggeletar, bila bernafas rasa oksigen tak lekat, mata dah kabur, telinga macam tak berapa dengar. Serious ingat kejap lagi mati la aku ni… tu yang sampai pergi hospital. Saya rasa panic attack lah sebab pergi hospital doktor kata tak ada masalah apa-apa, darah ok, jantung pun ok.

But it doesn’t end there. Tak lama lepas tu saya mengandung Yamin, ada GDM pulak… selalu rasa nak hypo. Jadi sepanjang selepas panic attack tu sampai umur Yamin setahun lebih beberapa kali saya kena mild panic attack. Berdebar, pandangan kabur, macam nak rebah, sendi-sendi jadi lemah dan ketar. Saya akan rehatkan badan dan beritahu suami kalau saya tak mesej dia dalam jangkamasa tertentu, cepat lah balik ke rumah. Sebenarnya saya lebih risaukan anak-anak. Kalau tiba-tiba saya betul-betul tak sedarkan diri macam manalah keadaan anak. Biasanya badan yang lemah akan kembali ok selepas beberapa jam.

Kadang-kadang datang perasaan sayu dan takut terutamanya masa menyusukan anak. Tapi tak sampai menangislah, datangnya pun macam angin lalu… kadang lama sikit, kadang sekejap saja. Kawal pernafasan dan istighfar. Emosi jadi tak stabil sebab selalu risau.

Pernah sekali dalam kereta saya rasa yang kami akan kemalangan. Badan saya dah kebas dan berpeluh sejuk, mulut rasa kering, pandang sekeliling dah tint kelabu ungu. Tapi saya tak cakap dengan suami, biar dia memandu dengan tenang sebab saya masih percaya yang itu semua mainan fikiran saya saja. Cuma nak dismiss perasaan tu memang tak boleh serta merta. Masa tu memang redha je. Apa yang saya buat, saya peluk Yamin erat… pejam mata, kawal pernafasan, mengucap dan beristigfar tak berhenti hingga sampai rumah.

Saya banyak cari info macam mana nak atasi masalah saya. Untuk keluarga terutamanya anak-anak, saya perlu buat sesuatu.

Sebagai orang Islam tentulah antara langkah yang paling penting saya kena berusaha tambah amalan dan dekatkan diri dengan Allah. Yang ini ada masalah atau tidak sebenarnya memang wajib kita buat. Selain tu saya cuba lebih fahami diri sendiri, cuba amalkan gaya hidup sihat. Jaga kesihatan, jaga pemakanan, jaga tingkahlaku, jaga percakapan, jaga persepsi. Tak mudah, tapi tiap usaha sedikit sebanyak tentu ada hasilnya.

Percayalah makanan dan minuman yang masuk dalam perut kita juga mempengaruhi kesihatan mental kita. Saya jaga diet saya bukan untuk kurus tapi untuk sihat fizikal dan mental. Saya cuba cukupkan nutrisi semampunya dan backup dengan sedikit suplemen (multivitamin, vitamin c, etc). Kondisi bertambah baik.

Mulai hujung 2017 saya mula ambil suplemen yang kaya omega-3. Saya ambil omega-3 yang berasaskan tumbuhan. Suplemen omega-3 berasaskan hidupan laut pun ada. Omega-3 bagus untuk kesihatan fungsi otak. Sejak tu alhamdulillah tak didatangi perasaan-perasaan sedih dan takut tu semua.

Tapi biasalah manusia ni bila ok dia mudah lupa. Saya berlebihan buat perkara yang boleh jadi trigger overthinking saya. Ting. Badan saya terus jadi seram sejuk. Tiba-tiba saya tak boleh kawal overthinking dan saya mengalami tanda-tanda macam anxiety. Tak terlalu teruk tapi cukup buat saya menangis beberapa kali dalam sehari. Saya selalu ingatkan diri saya bahawa Allah melarang kita berfikir malampaui batas dan hiduplah untuk hari ini jangan terlalu berfikir tentang masa depan dan kemungkinan yang tak pasti. Tapi bila dah triggered semua jadi haru biru. Tengok anak-anak bergelak ketawa pun boleh buat saya rasa pilu sebab tiba-tiba fikir macam-macam. Sepanjang hari kejap-kejap rasa takut dan berdebar, penat dibuatnya. Rasa terseksa bila berada di tempat ramai orang macam pasaraya sebab saya rasa macam serap terlalu banyak perkara kedalam otak.

Lain orang mungkin lain caranya. Apa saya buat untuk cuba pulih selain perkara-perkara yang saya sedia amalkan. Saya kenalpasti dan berhenti buat semua perkara yang boleh buat saya overthinking dan bimbang. Saya berhenti (dan kemudian minimakan) buka FB dan IG, tak tengok berita, berhenti cakap pasal topik berat. Saya beritahu pada suami kondisi saya pada masa itu. Bila dia tau dan faham, keadaan jadi lebih mudah. Saya juga bercakap dengan beberapa orang ahli keluarga saya. Untuk menjinakkan minda yang terlalu aktif dan suka ‘merayap’, saya tambah masa untuk baca al-quran, cuba menghafal ayat quran, dan main game mengeja ‘WordScapes’ untuk mengelakkan saya ada masa untuk fikir bukan-bukan. Alhamdulillah kerja programming saya juga bantu otak saya untuk fokus dan tak fikir bukan-bukan.

Dan paling penting… minta pada Allah. Berdoa minta pada Allah bagi keceriaan, ketenangan dan kekuatan mental dan fizikal. Dia pemilik hati dan fikiran kita, jadi minta pada Dia.

Sekarang kadang-kadang masih datang perasaan takut dan sayu tu tapi boleh katakan saya dah OK sebab boleh ditepis dengan cepat. Tapi saya masih perlu menjauhi perkara-perkara yang boleh menarik kepada trigger-trigger saya. Sebab tak pasti adakah saya dah cukup kuat.

Sekiranya anda ada kenalan atau saudara yang ada tanda-tanda kekacauan mental dan emosi janganlah sisihkan dia. Tak tunjuk simpati pun tak apa. Cuma perlu layan seperti biasa. Boleh beri tekanan padanya untuk perkara yang perlu tapi janganlah keterlaluan. Saya bersyukur sebab dari dulu kebanyakan individu yang rapat dengan saya boleh tolerate dengan perangai saya yang kadang-kadang aneh walaupun mungkin sebenarnya tak faham apa yang saya sedang lalui. Terima kasih masih ada dengan saya… huhu.

Jika anda sedang menghadapi masalah gangguan mental dan emosi… cuba pulihkan diri at your own pace. Memaksa diri bukan caranya.

Terima kasih bagi yang sudi membaca sampai habis. Saya tau ada baik dan buruknya menulis begini di pihak saya. Tapi menulisnya lebih baik kerana saya percaya ada manfaat pada orang lain yang menghadapai masalah yang sama atau yang cuba memahami keadaan orang tersayang.

Tinggalkan Balasan