Diabetes Ketika Hamil: Ujian dan apa perlu buat jika positif.

“Walaupun puan dah boleh dikira veteran GDM, still kena jumpa dietition ya.” Kata doktor semasa pemeriksaan rutin di klinik kesihatan. Ya… 3 kali mengandung dan 3 kali berturutlah positif Gestational Diabetes Mellitus (GDM) iaitu diabetes ketika hamil. Iyalah.. mengandung kali pertama pun umur dah 30-an, overweight pula tu, hahah.

Oleh kerana dah memang ada history GDM, awal-awal lagi dah kena buat MGTT. MGTT tu apa?

Alaa… ujian yang kena minum air gula legend tu. Modified glucose tolerance test (MGTT), Ini kali ke-5 buat ujian ni maka dah boleh minum dengan bertenang. Saya memang dah boleh agak positif GDM, jadi relax sajalah.

Kalau anda yang baca ni baru pertama kali nak buat ujian MGTT, tentu tertanya-tanya apa yang akan anda lalui. Saya cuba tulis secara ringkas dan padat ya. Dari kacamata saya orang biasa.

Katakan anda perlu buat ujian MGTT hari Khamis (setiap klinik ada hari tertentu, biasanya Khamis);

  • Mula puasa pada hari Rabu, pukul 10 malam. Air kosong boleh minum.
  • Datang awal pagi ke klinik. Lebih kurang pukul 8 pagi ambil darah.
  • Lepas ambil darah terus kena minum air gula segelas. Jangan muntah ya, nanti kena buat balik lain kali.
  • Puasa semula selama 2 jam.
  • Lebih kurang pukul 10 pagi akan dipanggil semula untuk ambil darah.
  • Hantar sampel darah ke makmal klinik.
  • Yeyy!! boleh makan dah… dan boleh balik kalau tak ada appointment lain di klinik hari yang sama.

Biasanya bila dah dapat result (positif) klinik akan telefon. Tapi kali ni klinik tak telefon. Saya ingat memang keputusan negatif, rupanya terlepas pandang, haha. Bacaan gula saya 4.9 mmol/L selepas puasa, 8.1 mmol/L 2 jam selepas minum air gula.

Maka bermulalah rutin-rutin tertentu yang nampak remeh tapi penting. Bila ada GDM ni lagi2 dah dikesan awal memang akan selalu pergi klinik. Biasanya 2 minggu sekali, kadang seminggu sekali, heheh. Sebab… ibu-ibu GDM perlu buat rutin blood sugar profile (BSP), jumpa dietition, test mata… itu yang saya ingatlah. Mungkin juga ibu GDM lain ada pengalaman berbeza.

Tentang BSP insyaallah lain kali saya cerita pengalaman saya. Selain buat BSP untuk review dengan doktor di klinik sebaiknya kita ada buat juga untuk rujukan diri sendiri.

Macam mana nak elakkan termuntah masa minum air gula?

Ini cara saya, mungkin anda boleh cuba. Masa minum jangan fikir banyak, bertenang je. Selagi air gula belum habis, jangan berhenti minum terlalu lama, seksa nak habiskan. Saya minum dengan tegukan sederhana besar. Teguk dan telan secara konsisten sampai habis, macam bila kita minum masa haus sangat tu. Tapi bertenanglah jangan gelojoh.

Jangan mengelat ujian MGTT ya. Risikonya bukan hanya kepada ibu malah boleh membahayakan nyawa anak sekiranya anda sebenarnya mengidap GDM tapi gagal dikesan atau anda skip ujian.

Tulisan saya sebelum ini tentang GDM.

Antara kesan GDM;

  • Bayi membesar secara berlebihan. Ini berlaku akibat paras gula dalam darah ibu sentiasa tinggi dan tidak terkawal, lalu bayi memberi respon dengan menghasilkan lebih banyak insulin, bayi dalam rahim membesar secara berlebihan. Bahu bayi mungkin akan tersangkut atau berlaku kecacatan saraf jika bersalin secara normal. Jadi jika saiz bayi dijangka besar, ibu perlu bersalin induce lebih awal dari tarikh due atau jika gagal, perlu bersalin secara pembedahan.
  • Risiko kematian bayi di dalam rahim (in utero death) secara mengejut juga meningkat jika paras gula di dalam darah tidak dikawal.
  • Bayi yang menghasilkan insulin berlebihan ketika dalam rahim akan mengalami paras gula rendah selepas dilahirkan maka perlu dimasukkan dalam wad rawatan rapi bayi untuk pemerhatian oleh pakar paediatrik.
  • Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai kencing manis juga mempunyai risiko menghidap kencing manis dan masalah kegemukan bila ianya meningkat dewasa kelak.

Jadi kita ibu-ibu mengandung yang positif GDM mesti usaha kawal paras gula dalam darah ya. Caranya amalkanlah diet yang sesuai dan sentiasa bergerak aktif (jika tiada masalah pendarahan). Jangan degil bila doktor, nurse dan dietitian bagi nasihat.

Leave a Reply