Resepi Kuih Limas: Sukatan kecil juga sesuai untuk bekas deli 750ml

Dulu masa usia kanak-kanak saya bukanlah peminat kuih tradisional. Tapi makin umur bertambah mula berani cuba macam-macam kuih. Antara yang awal-awal saya dah mula suka ada satu kuih ni… dulu saya panggil Kuih Sampan sebab bekas yang dibuat dari daun pisang tu rupanya macam sampan. Bila mula berkelana ke KL/Selangor ni kadang-kadang saya beli la kuih sampan ni. Orang disini panggil Kuih Tepung Pelita. Saya ingat ianya kuih yang sama walaupun pada saya rasanya ada beza. Rupanya yang saya jatuh cinta kunyahan pertama tu namanya Kuih Limas.

Tepung Pelita pun sedap. Cuma nak katanya saya baru tahu Kuih Limas dan Kuih Tepung Pelita guna bahan yang berbeza dan cara masak pun berbeza. Dari segi bahan… Kuih Limas menggunakan tepung gandum, Tepung Pelita guna tepung beras. Di sini saya kongsi cara buat Kuih Limas saja.

kuih limas dalam bekas deli 750ml

Banyak blog lain dah kongsi resepi ini sebenarnya. Tapi saya nak kongsi resepi untuk buat dalam kuantiti yang sedikit. Iyalah kadang kita nak buat sikit saja, orang di rumah tak ramai nanti membazir pula buat banyak-banyak.

Untuk bekas, saya guna bekas deli 750ml. Sebabnya… bukan saja saya tak pandai buat ‘sampan’, daun pisang pun tak ada, hehe. Mungkin boleh juga guna yang 500ml cuma hati-hati takut melimpah. Kalau ada bekas lain yang lebih proper dengan isipadu yang sama pun bagus juga… macam bekas kaca tahan panas atau loyang.

 

Kuih Limas (untuk makan 2-3 orang)

Bahan-bahan:

Gula pasir secukupnya (untuk ditabur di dasar bekas)

Bahagian bawah

1 cup santan cair
3 1/2 tbsp tepung gandum
1/2 tbsp tepung pulut
2 helai daun pandan (gunting kecil +- 1 inchi)
pewarna hijau (sehijau mana mahu mu)

Bahagian atas

1 cup santan pekat (Saya buat 1/2 cup santan Kara, 1/2 cup air. Boleh adjust kalau tak suka terlalu lemak.)
1 1/2 tbsp tepung gandum
garam

Cara-cara:

  1. Panaskan pengukus, kalau boleh suhu pengukus jangan terlalu panas, guna api sederhana.
  2. Taburkan gula ke dasar bekas deli. Ikut suka nak manis takat mana.
  3. Masukkan semua bahan ‘bahagian bawah’ ke dalam blender. Kisar sampai sebati dan puashati. Kemudian boleh tapis (wajib tapis, ada serdak daun pandan tu) ke bekas lain dulu atau terus tapis masuk ke dalam bekas deli yang hendak dikukus. Ikut mana rasa mudah.
  4. Hati-hati masukkan bekas deli ke dalam pengukus. Kukus selama 10 minit.
  5. Sementara itu masukkan semua bahan ‘bahagian atas’ ke dalam blender (bilas dulu blender kalau guna yang sama ya… :D). Kisar sampai sebati dan puashati. Ketepikan dulu.
  6. Setelah siap kukus 10 minit, matikan dulu api pengukus dan keluarkan bekas deli dan sejukkan sekejap supaya lapisan bawah sedikit kental untuk elakkan lapisan atas dan bawah bercampur.
  7. Sebelum tuang ‘bahagian atas’, panaskan semula pengukus.
  8. Bila ‘bahagian bawah’ dah sejuk sedikit dan kental, tuangkan adunan ‘bahagian atas’ perlahan-lahan. Pastikan kacau dulu adunan, dah tunggu lama biasa adunan mendak sedikit.
  9. Masukkan dalam pengukus dan kukus lebih kurang 10 minit.
  10. Dah siap, keluarkan dari pengukus.

Kuih Limas sedap dimakan ketika suhu suam atau sejuk (simpan dalam peti sejuk). Yang saya buat ni contoh Kuih Limas yang tak berapa licin, sebab saya kukus guna pengukus rice cooker jadi tak boleh kawal suhunya. Atau mungkin saya yang tak reti. Belasahlah janji boleh dimakan… hehe.

kuih limas dalam sudu

Selamat mencuba!

 

Oh ya… pernah dengar tentang Sacha Inchi Oil tak? 😀

Leave a Reply